Monday, May 17, 2010

Bas Ekspress punya cerita...

Pada 16hb. Mei 2010 lebih kurang jam 6.45ptg, aku sampai di Perhentian Bas Larkin Johor Bahru. Hari tu hujan turun membasahi bumi Allah. Aku benar-benar kelaparan selepas sehari suntuk didalam perjalanan balik dari Manila melalui Singapura. Bergegas aku ke kaunter menukar wang Pesos saki baki dari wang saku ku. Seorang lelaki separuh umur bergegas mengejar ku tak henti mengaju soalan kepada ku "Bang, nak ke KL ke? Bas jalan sekarang ...jam 7 ptg ada dan 7.30ptg pun ada" Aku bersetuju dengan jadual bas pukul 7.30ptg. Lantas membayar RM31.20 wang tambang.Bagasi ku simpan dipejabat bas. Kata ku, saya makan dulu la.

Hampir jam 7.15ptg aku bergegas ke pejabat bas berkenaan. Ada seorang wanita separuh umur yang mana ku kira seorang kerani disitu. Ah..Bang, memberi penerangan dimana bas yang bakal ku naiki ke KL serta nombor bas 1113. Oleh kerana hampir jadual perjalanan aku bergegas keluar didalam hujan renyai mencari bas yang bernombor 1113 atau yang mempunyai nama syarikat berkenaan. Hampa tak terjumpa nombor bas atau nama syarikat berkaitan, aku balik kepejabat bas semula. Kali ni wanita tadi beri nombor bas yang lain tidak seperti yang tertera di tiket dan menunjukkan dimana bas berkenaan. Oleh kerana waktu jadual dah hampir aku bergegas lagi.

Tepat jam 7.30ptg aku sudah berada didalam bas. Walaupun letih dan basah aku akur menanti waktu bertolak. Sambil menunggu dalam keletihan dan kuyup... seorang lelaki India.... aku kira dia pemandu bas menyuruh ku bertukar ke sebuag bas yang lain. Bergegas lagi aku bertukar bas.

Lebih kurang jam 8.00 malam datang seorang penumpang lelaki berketurunan Tiong Hua menaiki bas yang sama untuk ke KL. Dia dijanjikan waktu jadualnya adalah jam 8.00 malam.Waktu jam hampir jam 8.25 malam. Lelaki Tiong Hua tadi tiba-tiba bergegas kearah pemandu bas sambil berteriak-teriak akan waktu perjalanan yang sepatutnya sudah berlepas pada jam 8.00 malam. Berlaku pertelingkahan kecil antara mereka. Apa pun .... bas kami bertolak keluar daripada Terminal Bas Larkin pada jam 8.40 malam.

Aku juga berasa marah dan tertipu oleh apa yang ku lalui tapi apa lah kan daya...ditelan mati mak dan ditelan mati bapa... Aku sedar kita punya akta seperti Akta Perlindungan Pengguna Bil. 11/1999 melindungi hak-hak pengguna tapi cukup kah Akta itu untuk menampung hak-hak kita jika pihak lain yang berkaitan tidak komited untuk menyokong penguatkuasaan Akta berkenaan seperti LPKP dan Syarikat bas atau pengurusan terminal itu sendiri.

Apalah kiranya jika pihak LPKP dapat mengawal pengeluaran Permit Bas Ekspress tanpa had. Ya ... siapa pula yang menentukan had nya? Tidak salah jika perjalanan bas-bas dijadualkan dan diikuti dan tidak menjadikan amalan yang bertentangan dengan peraturan. Nescaya perkara yang sama tidak terulang dan pengguna tidak mendapat diskriminasi.

Amalkan lah budaya amalan penggurusan yang sihat agar dan kita dapay memupuk masyarakat yang sihat juga.

Mampukah kita?